Perkataan
wakaf berasal dari istilah bahasa arab ‘waqf’
yang merujuk kepada sesuatu pemberian untuk tujuan keagamaan, kekeluargaan,
kebajikan dan lain-lain. Dari segi bahasa perkataan waqf merupakan nama
terbitan masdar dari kata kerja ‘waqafa’
yang bermaksud menahan sesuatu atau menjarakannya. Secara dasarnya wakaf bermaksud
menahan sesuatu harta semata-mata kerana Allah SWT demi untuk kepentingan umum (Baharuddin sayin, Asmak Hj. Ali, S. Salahudin
Suyurno, 2006) .
Selain itu, wakaf ditakrifkan juga sebagai habsun
atau habasa iaitu tahan atau menahan
sesuatu harta untuk mendapatkan manfaat. Istilah ini banyak digunakan di dalam
kitab fiqh mazhab Maliki. Ia dinamakan ‘habsun’
kerana hanya manfaatnya sahaja yang boleh dimiliki oeh individu sedangkan hak
milik sebenar harta tersebut adalah Allah SWT (Hj. Abd Shakor Bin Borhan, 2011) .
Dari
aspek istilah, terdapat banyak pengertian berhubung dengan wakaf. Antaranya
wakaf bererti menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya
dengan cara menyerahkan hakmiliknya kepada seorang pengguna yang harus dan
wujud. Jumhur fuqaha mentakrifkan wakaf sebagai menahan sesuatu harta seseorang
untuk dimanfaatkan orang lain dengan terputus hakmilik ke atas harta tersebut.
Harta yang diwakafkan mestilah di dalam keadaan baik dan ditujukan untuk
kebajikan semata-mata bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Manakala ain
(harta) yang diwakafkan pula akan tertahan sebagai hakmilik Allah SWT (Hj. Abd Shakor Bin Borhan, 2011) .
Menurut
(Baharuddin sayin, Asmak Hj. Ali, S. Salahudin
Suyurno, 2006)
wakaf dari segi istilah juga diertikan sebagai menahan harta dan membelanjakan
manfaatnya pada jalan Allah SWT atau menahan fizikal harta dan mengalirkan
hasil atau buahnya. Menahan harta ertinya harta itu tidak boleh dijual, dihibah,
dan tidak boleh dijadikan harta pusakan serta manfaatnya hendaklah digunakan
bagi tujuan wakaf mengikut ketentuan pewakafnya. Secara konklusinya wakaf
adalah harta yang kekal bentuk zatnya dan boleh diambil manfaatnya samaada
harta mudah alih atau harta tak alih. Justeru dalam konteks moden yang lebih
praktikal harta wakaf juga diterima dalam bentuk sahan dan wang tunai.
No comments:
Post a Comment