prettygreeting


http://prettygreeting.blogspot.com/

Sunday 6 October 2013

SYARAT-SYARAT AM ZAKAT PERTANIAN

Syarat ialah satu keadaan yang menentukan sesuatu hukum. Zakat dirangkumi dengan beberapa syarat pada harta dan pemiliknya. Ini menunjukkan syariat Islam mewajibkan zakat bukan secara paksa atau mutlak ( tanpa syarat ). Antara syarat-syarat am zakat pertanian ialah beragama Islam, pemilikan sempurna, harta yang boleh berkembang (subur), melebihi dari keperluan asas, cukup haul dan cukup nisab.
(i)                 BERAGAMA ISLAM
Orang Islam atau Muslim. Mereka dianggap dapat menyempurnakan syarat wajib dan sah zakat. Zakat merupakan salah satu ibadat dalam rukun Islam. Zakat adalah sebahagian daripada Islam. Jumhur kecuali Imam Malik berpendapat zakat tidak diwajibkan ke atas kafir. Orang kafir boleh dikenakan jizyah. Kafir yang dimaksudkan ialah kafir asli, manakala kafir zimmi boleh dikenakan zakat. Walau bagaimanapun, golongan murtad zakat masih diwajibkan.
Terdapat hujah daripada al-Quran surah al-Nisa’ :76,  al-Haj :78, al-Nur :56, dan al-Taubah :104. Allah S.W.T. menegaskan kewajipan zakat kepada semua orang Islam daripada semua lapisan masyarakat. Dalil Hadis dapat difahamkan dari maksud perintah Rasulullah S.A.W. kepada Mu’adh dan surat Abu Bakar kepada Anas yang mengiringi Mu’adh ke Yaman “..Ini adalah perintah kewajipan zakat. Kutiplah daripada orang-orang Islam yang berada (kaya) sahaja”. Daripada penjelasan di atas, jelaslah setiap orang Islam tidak terkecuali dari kewajipan membayar zakat.
(ii)               PEMILIKAN SEMPURNA
Pemilikan bermaksud pemilikan dari segi penguasaan, penyelenggaraan dan sebagainya. Pemilikan boleh berlaku melalui warisan, pembukaan tanah dan sebagainya. Daripada sebesar-besar sehinggalah sekecil-kecil benda di muka bumi ini ialah milik Allah S.W.T. Allah sumber segala-galanya. Pemilikan sebenar mengikut ahli sunah merupakan pemilik (pemegang amanah) yang diperoleh dengan jalan halal serta mempunyai kebebasan sebagai pengguna ke atas harta tersebut pada bila-bila masa tanpa halangan.
Prinsip pemilikan sebenar berdasarkan yang terdapat dalam ayat 24 surah al-Ma’arij dan ayat 262 surah al-Baqarah. Manakala harta yang diperoleh dengan cara haram seperti mencuri, menipu, riba, dan lain-lain jalan yang haram mengikut syariat Islam, tidak diwajibkan zakat biarpun telah melebihi nisab.
(iii)             HARTA YANG BERKEMBANG
Harta yang berkembang ialah harta yang boleh menghasilkan keuntungan dan menambahkan hasil dari harta tersebut secara langsung atau tidak langsung. Harta yang dimiliki oleh seseorang Islam hendaklah terdiri daripada jenis harta yang boleh berkembang sendiri atau dikembangkan secara sendiri atau dengan usaha. Di Malaysia, pertanian dan perladangan boleh dikembangkan dan memperoleh keuntungan. Pelaksanaan zakat yang tidak terbatas dengan syarat-syarat tertentu bertentangan dengan kehendak syariat Islam (al-Quran dan al-Sunah). Malah ia merupakan salah satu jalan keluar kepada orang kaya untuk membersih dan menyucikan harta pendapatan mereka yang sentiasa bertambah.
Sabda Rasulullah S.A.W.
“Tidak akan kurang sesuatu harta kerana zakat “
(iv)             LEBIH DARI KEPERLUAN ASAS
Keperluan yang sederhana berdasarkan masyarakat setempat. Keperluan asas manusia sering berubah oleh taraf hidup dan desakan kehidupan seharian. Islam memberikan kelonggaran bagi menentukan had minimum keperluan manusia yang tetap mengalami arus perubahan sesebuah negara atau negeri menentukan berdasarkan keperluan asas penduduk dan pendapatan yang diperoleh. Kalimah ai-Awf dalam ayat 219 surah al-Baqarah memberi maksud (al-Fadl). Manakala dasar dari hadis Abu Hurairah dan Jabair menegaskan bahawa zakat mestilah diambil daripada baki bersih agihan kepada keluarga yang ditanggung.
(v)               CUKUP NISAB
Kadar atau nilai minimum yang menentukan harta itu wajib dikeluarkan zakat atau sebaliknya. Bagi zakat pertanian dan perladangan, terdapat kaedah nisab yang tersendiri dalam menentukan paras yang diwajibkan membayar zakat. Zakat pertanian bermula daripada lima awsuq pendapatan bersih hasil pertanian. Menurut  Imam Ahmad Bin ‘Abd Rahim al-Dahlawi ; sukatan lima awsuq hasil pertanian cukup untuk dimakan dalam jangka masa setahun bagi empat anggota keluarga.
(vi)             CUKUP HAUL
Harta yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam disyaratkan melalui satu tempoh tahun Hijrah (354 hari). Mengikut pendapat Jumhur, hasil pertanian dan perladangan tidak disyaratkan melalui tempoh haul. Ini berdasarkan ayat al-Quran : “ Berilah haknya pada hari penuaian “. Oleh sebab itu, hasil pertanian diwajibkan zakat setelah proses penuaian.







No comments:

Post a Comment