prettygreeting


http://prettygreeting.blogspot.com/

Monday 7 October 2013

BENTUK-BENTUK WAKAF TRADISIONAL DI MALAYSIA

Secara umumnya, terdapat beberapa jenis wakaf tradisional yang terdiri daripada:
I)                   Wakaf Khas dan Wakaf Am
Wakaf khas ialah wakaf yang telah ditentukan secara jelas penerimanya sama ada kepada seseorang, kumpulan atau institusi tertentu. Oleh sedemikian, harta yang diwakafkan itu akan menjadi milik mereka dan mereka sahajalah yang berhak mengurus, mendapat faedah dan kegunaannya.
Wakaf Am ialah wakaf yang tidak ditentukan secara jelas penerimanya, sebaliknya bersifat umum untuk kebajikan ummah. Wakaf jenis ini tidak perlu kepada unsur penerimaan bahkan ia akan terus menjadi milik Allah. Wakaf jenis ini akan dikendalikan oleh pemerintah dan manfaatnya akan disalurkan kepada kebajikan secara umum (Baharuddin sayin, Asmak Hj. Ali, S. Salahudin Suyurno, 2006). 
II)                Wakaf Musytarak
Wakaf musytarak ialah campuran wakaf khairi dan wakaf zurri. Wakaf musytarak bermakna wakaf yang ditujukan sebahagian manfaatnya kepada ahli atau keluarga dan sebahagiannya untuk masyarakat umum. Wakaf Musytarak diwujudkan oleh waqif melalui saham wakaf dan wakaf saham. Contohnya, wakaf tanah pertanian di mana sebahagian dari hasilnya ditujukan untuk anak cucu sementara sebahagian lagi untuk tujuan umum (Hj. Abd Shakor Bin Borhan, 2011). 
III)             Wakaf Mu’abad dan Mu’aqqat
Wakaf Mu‘abad ialah wakaf yang tidak dihadkan tempoh atau masanya. Wakaf jenis ini merupakan sadaqah jariah yang mendapat pahala secara berkekalan sehingga harta tersebut musnah dan tidak dapat digunakan lagi.  Wakaf Mu’aqqat ialah wakaf yang dibatasi oleh masa, mungkin selama lima tahun atau selama hayat pewakaf. Selepas tempoh tersebut harta wakaf berkenaan tidak lagi berstatus wakaf. (Baharuddin sayin, Asmak Hj. Ali, S. Salahudin Suyurno, 2006) 
IV)             Wakaf Irsad dan Musya
Wakaf irsad ialah wakaf yang dilakukan oleh pemerintah  dengan mewakafkan harta-harta Baitulmal sama ada harta alih dan harta tak alih berasakan kepada kepentingan umum. Ini dapat diihat seperti mengaplikasikan dana atau tanah milik Baitumal kepada pembinaan masjid, institusi pendidikan, hospital dan sebagainya. Seseorang waqif boleh mewujudkan wakaf Irsad dan Musya terhadap keseluruhan, atau sebahagian daripada hartanya. Manakala wakaf musya ialah mewakafkan apa-apa hak ke atas mana-mana harta yang dimiliki bersama yang tidak boleh dipecah serta bahagikan. 
V)                Wakaf Kaki
Wakaf Kaki atau dikenali juga dengan nama wakaf lantai. Pemegang amanah akan membeli keseluruhan hartanah dan pewakaf akan membeli hartanah berkenaan mengikut saiz / kaki persegi dan kemudiannya mewakafkannya kembali. Skim wakaf kaki biasanya dianjurkan oleh institusi pendidikan atau badan-badan tertentu untuk mendapatkan dana bagi membiayai aktiviti pembangunan. Lazimnya apabila sesuatu projek pembangunan itu telah berjaya maka skim wakaf kaki ini akan dihentikan. Ia akan dibahagikan lot-lot tanah mengikut saiz tertentu dan dijual kepada orang ramai dengan harga tertentu. Tanah-tanah yang dibeli ini disyaratkan agar diwakafkan semula kepada institusi pendidikan atau badan-badan berkenaan.


No comments:

Post a Comment