Syarat
ialah satu keadaan yang menentukan sesuatu hukum. Zakat dirangkumi dengan
beberapa syarat pada harta dan pemiliknya. Ini menunjukkan syariat Islam
mewajibkan zakat bukan secara paksa atau mutlak ( tanpa syarat ). Antara
syarat-syarat am zakat pertanian ialah beragama Islam, pemilikan sempurna,
harta yang boleh berkembang (subur), melebihi dari keperluan asas, cukup haul
dan cukup nisab.
(i)
BERAGAMA ISLAM
Orang
Islam atau Muslim. Mereka dianggap dapat menyempurnakan syarat wajib dan sah
zakat. Zakat merupakan salah satu ibadat dalam rukun Islam. Zakat adalah
sebahagian daripada Islam. Jumhur kecuali Imam Malik berpendapat zakat tidak diwajibkan
ke atas kafir. Orang kafir boleh dikenakan jizyah. Kafir yang dimaksudkan ialah
kafir asli, manakala kafir zimmi boleh dikenakan zakat. Walau bagaimanapun,
golongan murtad zakat masih diwajibkan.
Terdapat
hujah daripada al-Quran surah al-Nisa’ :76,
al-Haj :78, al-Nur :56, dan al-Taubah :104. Allah S.W.T. menegaskan
kewajipan zakat kepada semua orang Islam daripada semua lapisan masyarakat.
Dalil Hadis dapat difahamkan dari maksud perintah Rasulullah S.A.W. kepada
Mu’adh dan surat Abu Bakar kepada Anas yang mengiringi Mu’adh ke Yaman “..Ini adalah perintah kewajipan zakat. Kutiplah daripada orang-orang Islam yang
berada (kaya) sahaja”. Daripada penjelasan di atas, jelaslah setiap orang
Islam tidak terkecuali dari kewajipan membayar zakat.
(ii)
PEMILIKAN SEMPURNA
Pemilikan
bermaksud pemilikan dari segi penguasaan, penyelenggaraan dan sebagainya.
Pemilikan boleh berlaku melalui warisan, pembukaan tanah dan sebagainya.
Daripada sebesar-besar sehinggalah sekecil-kecil benda di muka bumi ini ialah
milik Allah S.W.T. Allah sumber segala-galanya. Pemilikan sebenar mengikut ahli
sunah merupakan pemilik (pemegang amanah) yang diperoleh dengan jalan halal
serta mempunyai kebebasan sebagai pengguna ke atas harta tersebut pada
bila-bila masa tanpa halangan.
Prinsip
pemilikan sebenar berdasarkan yang terdapat dalam ayat 24 surah al-Ma’arij dan
ayat 262 surah al-Baqarah. Manakala harta yang diperoleh dengan cara haram
seperti mencuri, menipu, riba, dan lain-lain jalan yang haram mengikut syariat
Islam, tidak diwajibkan zakat biarpun telah melebihi nisab.
(iii)
HARTA YANG BERKEMBANG
Harta
yang berkembang ialah harta yang boleh menghasilkan keuntungan dan menambahkan
hasil dari harta tersebut secara langsung atau tidak langsung. Harta yang
dimiliki oleh seseorang Islam hendaklah terdiri daripada jenis harta yang boleh
berkembang sendiri atau dikembangkan secara sendiri atau dengan usaha. Di
Malaysia, pertanian dan perladangan boleh dikembangkan dan memperoleh
keuntungan. Pelaksanaan zakat yang tidak terbatas dengan syarat-syarat tertentu
bertentangan dengan kehendak syariat Islam (al-Quran dan al-Sunah). Malah ia
merupakan salah satu jalan keluar kepada orang kaya untuk membersih dan
menyucikan harta pendapatan mereka yang sentiasa bertambah.
Sabda
Rasulullah S.A.W.
“Tidak
akan kurang sesuatu harta kerana zakat “
(iv)
LEBIH DARI KEPERLUAN ASAS
Keperluan
yang sederhana berdasarkan masyarakat setempat. Keperluan asas manusia sering
berubah oleh taraf hidup dan desakan kehidupan seharian. Islam memberikan
kelonggaran bagi menentukan had minimum keperluan manusia yang tetap mengalami
arus perubahan sesebuah negara atau negeri menentukan berdasarkan keperluan
asas penduduk dan pendapatan yang diperoleh. Kalimah ai-Awf dalam ayat 219
surah al-Baqarah memberi maksud (al-Fadl). Manakala dasar dari hadis Abu
Hurairah dan Jabair menegaskan bahawa zakat mestilah diambil daripada baki
bersih agihan kepada keluarga yang ditanggung.
(v)
CUKUP NISAB
Kadar
atau nilai minimum yang menentukan harta itu wajib dikeluarkan zakat atau
sebaliknya. Bagi zakat pertanian dan perladangan, terdapat kaedah nisab yang
tersendiri dalam menentukan paras yang diwajibkan membayar zakat. Zakat
pertanian bermula daripada lima awsuq pendapatan bersih hasil pertanian.
Menurut Imam Ahmad Bin ‘Abd Rahim
al-Dahlawi ; sukatan lima awsuq hasil pertanian cukup untuk dimakan dalam
jangka masa setahun bagi empat anggota keluarga.
(vi)
CUKUP HAUL
Harta
yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam disyaratkan melalui satu tempoh tahun
Hijrah (354 hari). Mengikut pendapat Jumhur, hasil pertanian dan perladangan
tidak disyaratkan melalui tempoh haul. Ini berdasarkan ayat al-Quran : “ Berilah haknya pada hari penuaian “.
Oleh sebab itu, hasil pertanian diwajibkan zakat setelah proses penuaian.