prettygreeting


http://prettygreeting.blogspot.com/

Wednesday 13 November 2013

AUDIT DALAMAN 5S

Audit dalaman 5S diadakan pada 12 November 2013.Untuk makluman seramai 3 orang juru audit serta 2 orang pemantau telah menjalankan sesi audit 5s di Zon Ibtisam (Pejabat Baitulmal Daerah Rembau).Sekitar Sesi Audit yang dijalankan:


                                                    Sesi audit dijalankan oleh Juru Audit...


 Sesi mencari fail....


                                           Juru audit melihat kekemasan setiap meja pekerja.

                                          Bersama Ustaz Zainal Selaku pemantau audit 5S





Wednesday 30 October 2013

Audit Dalaman 5S

Audit dalaman 5S diadakan pada 29 Oktober 2013 di Pejabat Baitulmal Daerah Rembau.

Gambar Sekitar proses pengauditan.........





Sesi Melihat Fail 5S oleh Puan Haryati dari Pusat Kaunseling Mains Daerah Tampin


Bersama Ketua Zon Daerah Rembau Ustaz Zahid Bin Mohammad


Juru audit Melihat Sudut 5S

 
 Audit untuk kali ke-tiga dijalankan di Pejabat Baitulmal Daerah Rembau..
 

Monday 28 October 2013

"POLISI 5S"

" BERILTIZAM UNTUK MENJADIKAN MAINS SEBUAH ORGANISASI BERTARAF LIMA (5) BINTANG DAN MEWUJUDKAN BUDAYA KERJA YANG CERIA DAN BERKUALITI "

Monday 7 October 2013

BENTUK-BENTUK WAKAF KOTEMPORARI DI MALAYSIA
Secara umumnya, terdapat beberapa jenis wakaf kontemporari yang terdiri daripada:
I)                   Wakaf Tunai / Saham Wakaf
Menurut (Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji, 2009) Wakaf Tunai atau saham wakaf (cash waqf) bermaksud mewakafkan wang tunai kepada mana-mana pemegang amanah wakaf, dimana wang modalnya dikekalkan kepada penerima wakaf (wakaf alaih). Wang tersebut akan dikumpulkan dan kemudiannya ditukarkan kepada harta kekal yang dinamakan badal. Manfaat hasil wakaf tunai tersebut akan digunakan untuk kebajikan dan pembangunan ummah. Merupakan satu skim untuk menggalakkan umat Islam berwakaf melalui Wang ringgit (tunai) dengan cara membeli unit-unit saham wakaf yang ditawarkan. Pembeli unit saham akan menawarkan unit-unit tersebut untuk selama-lamanya kerana Allah SWT bagi tujuan manfaat dan kebajikan umat Islam. Selain itu, penyumbang dalam skim ini tidak mendapat sebarang bentuk dividen kerana ia bersifat wakaf. Hasil daripada jualan wakaf ini akan dikumpulkan ke dalam Tabung Kumpulan Wang Wakaf untuk membiayai program pembangunan sosial dan ekonomi umat Islam.
II)                Takaful Wakaf
Takaful wakaf ialah peserta akan mengumpulkan wang secara beransur-ansur melalui bayaran ansuran caruman takaful mengikut kemampuan masing-masing secara berkala sepanjang tempoh takaful. Wang caruman peserta akan disimpan, dilabur dan diurus tadbir oleh institusi takaful sehingga genap tempoh matang sijil takaful.


BENTUK-BENTUK WAKAF TRADISIONAL DI MALAYSIA

Secara umumnya, terdapat beberapa jenis wakaf tradisional yang terdiri daripada:
I)                   Wakaf Khas dan Wakaf Am
Wakaf khas ialah wakaf yang telah ditentukan secara jelas penerimanya sama ada kepada seseorang, kumpulan atau institusi tertentu. Oleh sedemikian, harta yang diwakafkan itu akan menjadi milik mereka dan mereka sahajalah yang berhak mengurus, mendapat faedah dan kegunaannya.
Wakaf Am ialah wakaf yang tidak ditentukan secara jelas penerimanya, sebaliknya bersifat umum untuk kebajikan ummah. Wakaf jenis ini tidak perlu kepada unsur penerimaan bahkan ia akan terus menjadi milik Allah. Wakaf jenis ini akan dikendalikan oleh pemerintah dan manfaatnya akan disalurkan kepada kebajikan secara umum (Baharuddin sayin, Asmak Hj. Ali, S. Salahudin Suyurno, 2006). 
II)                Wakaf Musytarak
Wakaf musytarak ialah campuran wakaf khairi dan wakaf zurri. Wakaf musytarak bermakna wakaf yang ditujukan sebahagian manfaatnya kepada ahli atau keluarga dan sebahagiannya untuk masyarakat umum. Wakaf Musytarak diwujudkan oleh waqif melalui saham wakaf dan wakaf saham. Contohnya, wakaf tanah pertanian di mana sebahagian dari hasilnya ditujukan untuk anak cucu sementara sebahagian lagi untuk tujuan umum (Hj. Abd Shakor Bin Borhan, 2011). 
III)             Wakaf Mu’abad dan Mu’aqqat
Wakaf Mu‘abad ialah wakaf yang tidak dihadkan tempoh atau masanya. Wakaf jenis ini merupakan sadaqah jariah yang mendapat pahala secara berkekalan sehingga harta tersebut musnah dan tidak dapat digunakan lagi.  Wakaf Mu’aqqat ialah wakaf yang dibatasi oleh masa, mungkin selama lima tahun atau selama hayat pewakaf. Selepas tempoh tersebut harta wakaf berkenaan tidak lagi berstatus wakaf. (Baharuddin sayin, Asmak Hj. Ali, S. Salahudin Suyurno, 2006) 
IV)             Wakaf Irsad dan Musya
Wakaf irsad ialah wakaf yang dilakukan oleh pemerintah  dengan mewakafkan harta-harta Baitulmal sama ada harta alih dan harta tak alih berasakan kepada kepentingan umum. Ini dapat diihat seperti mengaplikasikan dana atau tanah milik Baitumal kepada pembinaan masjid, institusi pendidikan, hospital dan sebagainya. Seseorang waqif boleh mewujudkan wakaf Irsad dan Musya terhadap keseluruhan, atau sebahagian daripada hartanya. Manakala wakaf musya ialah mewakafkan apa-apa hak ke atas mana-mana harta yang dimiliki bersama yang tidak boleh dipecah serta bahagikan. 
V)                Wakaf Kaki
Wakaf Kaki atau dikenali juga dengan nama wakaf lantai. Pemegang amanah akan membeli keseluruhan hartanah dan pewakaf akan membeli hartanah berkenaan mengikut saiz / kaki persegi dan kemudiannya mewakafkannya kembali. Skim wakaf kaki biasanya dianjurkan oleh institusi pendidikan atau badan-badan tertentu untuk mendapatkan dana bagi membiayai aktiviti pembangunan. Lazimnya apabila sesuatu projek pembangunan itu telah berjaya maka skim wakaf kaki ini akan dihentikan. Ia akan dibahagikan lot-lot tanah mengikut saiz tertentu dan dijual kepada orang ramai dengan harga tertentu. Tanah-tanah yang dibeli ini disyaratkan agar diwakafkan semula kepada institusi pendidikan atau badan-badan berkenaan.


WAKAF

Perkataan wakaf berasal dari istilah bahasa arab ‘waqf’ yang merujuk kepada sesuatu pemberian untuk tujuan keagamaan, kekeluargaan, kebajikan dan lain-lain. Dari segi bahasa perkataan waqf merupakan nama terbitan masdar dari kata kerja ‘waqafa’ yang bermaksud menahan sesuatu atau menjarakannya. Secara dasarnya wakaf bermaksud menahan sesuatu harta semata-mata kerana Allah SWT demi untuk kepentingan umum (Baharuddin sayin, Asmak Hj. Ali, S. Salahudin Suyurno, 2006). Selain itu, wakaf ditakrifkan juga sebagai habsun atau habasa iaitu tahan atau menahan sesuatu harta untuk mendapatkan manfaat. Istilah ini banyak digunakan di dalam kitab fiqh mazhab Maliki. Ia dinamakan ‘habsun’ kerana hanya manfaatnya sahaja yang boleh dimiliki oeh individu sedangkan hak milik sebenar harta tersebut adalah Allah SWT (Hj. Abd Shakor Bin Borhan, 2011).
Dari aspek istilah, terdapat banyak pengertian berhubung dengan wakaf. Antaranya wakaf bererti menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hakmiliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud. Jumhur fuqaha mentakrifkan wakaf sebagai menahan sesuatu harta seseorang untuk dimanfaatkan orang lain dengan terputus hakmilik ke atas harta tersebut. Harta yang diwakafkan mestilah di dalam keadaan baik dan ditujukan untuk kebajikan semata-mata bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Manakala ain (harta) yang diwakafkan pula akan tertahan sebagai hakmilik Allah SWT (Hj. Abd Shakor Bin Borhan, 2011).
Menurut (Baharuddin sayin, Asmak Hj. Ali, S. Salahudin Suyurno, 2006) wakaf dari segi istilah juga diertikan sebagai menahan harta dan membelanjakan manfaatnya pada jalan Allah SWT atau menahan fizikal harta dan mengalirkan hasil atau buahnya. Menahan harta ertinya harta itu tidak boleh dijual, dihibah, dan tidak boleh dijadikan harta pusakan serta manfaatnya hendaklah digunakan bagi tujuan wakaf mengikut ketentuan pewakafnya. Secara konklusinya wakaf adalah harta yang kekal bentuk zatnya dan boleh diambil manfaatnya samaada harta mudah alih atau harta tak alih. Justeru dalam konteks moden yang lebih praktikal harta wakaf juga diterima dalam bentuk sahan dan wang tunai.



Sunday 6 October 2013

SYARAT-SYARAT AM ZAKAT PERTANIAN

Syarat ialah satu keadaan yang menentukan sesuatu hukum. Zakat dirangkumi dengan beberapa syarat pada harta dan pemiliknya. Ini menunjukkan syariat Islam mewajibkan zakat bukan secara paksa atau mutlak ( tanpa syarat ). Antara syarat-syarat am zakat pertanian ialah beragama Islam, pemilikan sempurna, harta yang boleh berkembang (subur), melebihi dari keperluan asas, cukup haul dan cukup nisab.
(i)                 BERAGAMA ISLAM
Orang Islam atau Muslim. Mereka dianggap dapat menyempurnakan syarat wajib dan sah zakat. Zakat merupakan salah satu ibadat dalam rukun Islam. Zakat adalah sebahagian daripada Islam. Jumhur kecuali Imam Malik berpendapat zakat tidak diwajibkan ke atas kafir. Orang kafir boleh dikenakan jizyah. Kafir yang dimaksudkan ialah kafir asli, manakala kafir zimmi boleh dikenakan zakat. Walau bagaimanapun, golongan murtad zakat masih diwajibkan.
Terdapat hujah daripada al-Quran surah al-Nisa’ :76,  al-Haj :78, al-Nur :56, dan al-Taubah :104. Allah S.W.T. menegaskan kewajipan zakat kepada semua orang Islam daripada semua lapisan masyarakat. Dalil Hadis dapat difahamkan dari maksud perintah Rasulullah S.A.W. kepada Mu’adh dan surat Abu Bakar kepada Anas yang mengiringi Mu’adh ke Yaman “..Ini adalah perintah kewajipan zakat. Kutiplah daripada orang-orang Islam yang berada (kaya) sahaja”. Daripada penjelasan di atas, jelaslah setiap orang Islam tidak terkecuali dari kewajipan membayar zakat.
(ii)               PEMILIKAN SEMPURNA
Pemilikan bermaksud pemilikan dari segi penguasaan, penyelenggaraan dan sebagainya. Pemilikan boleh berlaku melalui warisan, pembukaan tanah dan sebagainya. Daripada sebesar-besar sehinggalah sekecil-kecil benda di muka bumi ini ialah milik Allah S.W.T. Allah sumber segala-galanya. Pemilikan sebenar mengikut ahli sunah merupakan pemilik (pemegang amanah) yang diperoleh dengan jalan halal serta mempunyai kebebasan sebagai pengguna ke atas harta tersebut pada bila-bila masa tanpa halangan.
Prinsip pemilikan sebenar berdasarkan yang terdapat dalam ayat 24 surah al-Ma’arij dan ayat 262 surah al-Baqarah. Manakala harta yang diperoleh dengan cara haram seperti mencuri, menipu, riba, dan lain-lain jalan yang haram mengikut syariat Islam, tidak diwajibkan zakat biarpun telah melebihi nisab.
(iii)             HARTA YANG BERKEMBANG
Harta yang berkembang ialah harta yang boleh menghasilkan keuntungan dan menambahkan hasil dari harta tersebut secara langsung atau tidak langsung. Harta yang dimiliki oleh seseorang Islam hendaklah terdiri daripada jenis harta yang boleh berkembang sendiri atau dikembangkan secara sendiri atau dengan usaha. Di Malaysia, pertanian dan perladangan boleh dikembangkan dan memperoleh keuntungan. Pelaksanaan zakat yang tidak terbatas dengan syarat-syarat tertentu bertentangan dengan kehendak syariat Islam (al-Quran dan al-Sunah). Malah ia merupakan salah satu jalan keluar kepada orang kaya untuk membersih dan menyucikan harta pendapatan mereka yang sentiasa bertambah.
Sabda Rasulullah S.A.W.
“Tidak akan kurang sesuatu harta kerana zakat “
(iv)             LEBIH DARI KEPERLUAN ASAS
Keperluan yang sederhana berdasarkan masyarakat setempat. Keperluan asas manusia sering berubah oleh taraf hidup dan desakan kehidupan seharian. Islam memberikan kelonggaran bagi menentukan had minimum keperluan manusia yang tetap mengalami arus perubahan sesebuah negara atau negeri menentukan berdasarkan keperluan asas penduduk dan pendapatan yang diperoleh. Kalimah ai-Awf dalam ayat 219 surah al-Baqarah memberi maksud (al-Fadl). Manakala dasar dari hadis Abu Hurairah dan Jabair menegaskan bahawa zakat mestilah diambil daripada baki bersih agihan kepada keluarga yang ditanggung.
(v)               CUKUP NISAB
Kadar atau nilai minimum yang menentukan harta itu wajib dikeluarkan zakat atau sebaliknya. Bagi zakat pertanian dan perladangan, terdapat kaedah nisab yang tersendiri dalam menentukan paras yang diwajibkan membayar zakat. Zakat pertanian bermula daripada lima awsuq pendapatan bersih hasil pertanian. Menurut  Imam Ahmad Bin ‘Abd Rahim al-Dahlawi ; sukatan lima awsuq hasil pertanian cukup untuk dimakan dalam jangka masa setahun bagi empat anggota keluarga.
(vi)             CUKUP HAUL
Harta yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam disyaratkan melalui satu tempoh tahun Hijrah (354 hari). Mengikut pendapat Jumhur, hasil pertanian dan perladangan tidak disyaratkan melalui tempoh haul. Ini berdasarkan ayat al-Quran : “ Berilah haknya pada hari penuaian “. Oleh sebab itu, hasil pertanian diwajibkan zakat setelah proses penuaian.







ZAKAT PERTANIAN

Zakat pertanian adalah zakat yang dikenakan ke atas makanan asasi yang mengenyangkan kepada sesebuah negeri iaitu apabila telah cukup nisab dan haulnya. Hasil tanaman yang diwajibkan zakat adalah bijirin- bijirin dari jenis makanan asasi yang mengenyangkan dan tahan lama jika disimpan lama seperti padi, kurma, jagung, dan sebagainya. Makanan asasi bagi penduduk Malaysia sebagai contohnya adalah nasi dan nasi dihasilkan daripada padi. Terdapat beberapa dalil mengenai zakat pertanian seperti:
“Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiramiya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat” ( Al-Baqarah, 2 : 265).
Zakat diwajibkan ke atas semua hasil pertanian dan buah-buahan yang ditanam dengan tujuan untuk mengembangkan dan menginventasikan tanah (menurut mazhab Abu Hanifah dan ulama fikih lain). Tetapi tidak diwajibkan ke atas tanaman liar yang tumbuh dengan sendirinya, seperti rumput, pohon kayu bakar, bambu dan lain-lain kecuali jika diperdagangkan. Jika diteliti, dalam zakat pertanian tidak disyaratkan haul tetapi diwajibkan setiap musim, sesuai dengan firman Allah swt. “Dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya”(dengan dikeluarkan zakatnya). (Surah Al-An`am ayat 141). Jelaslah, sekiranya tanah pertanian dapat menghasilkan hasil lebih dari sekali dalam setahun, maka wajib dikeluarkan zakat.

Zakat pertanian juga dikenakan ke atas hasil buahan dan tanaman. Buahan dan bijian yang wajib zakat ialah empat jenis seperti sabda nabi “Janganlah kamu mengambil zakat melainkan dari empat perkara ini iaitu syair(barli), gandum, zabib dan tamar”. Berdasarkan hadis ini, para ulamak telah menyatakan setiap buah dan bijian di atas mewakili jenis buahan dan bijian lain. Bagi Mazhab Shafie tiap-tiap benda yang boleh mengenyangkan (asyidah) atau boleh dibuat roti adalah diwajibkan zakat. Manakala menurut Imam Nawawi zakat tumbuhan atau pertanian tertentu yang mengenyangkan seperti kurma, anggur, syair(barli), beras dan segala makanan yang mengenyangkan wajib dikeluarkan zakat pertanian.

Friday 4 October 2013

KEGEMILANGAN KERAJAAN UTHMANIAH TURKI

Empayar Turki Uthmaniyah telah diasaskan oleh Uthman 1 yang mengistiharkan kemerdekaan wilayah Uthmaniyah pada tahun 1299. Wilayah ini mula berkembang melalui penaklukan Constatinople oleh Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 dan terus gemilang semasa pemerintahan Sulaiman Al-Qanuni. Secara dasarnya, pembentukan kerajaan Turki merupakan proses sejarah yang panjang dan tidak terjadi dengan tiba-tiba. Dalam sejarahnya selama lima abad iaitu bermula pada akhir abad ke-13 hingga awal abad ke-19 kerajaan Turki Uthmaniyah telah mengalami pasang surut. Kerajaan Uthmaniyah pernah menjadi negara terkuat dan berkuasa setelah mengalahkan Constantinople (Istanbul) dan kerajaan Rom Timur (Byzantium).
Kerajaan Uthmaniyah berkuasa selama lebih kurang tujuh abad (1300-1922) dan dipimpin oleh 36 sultan. Puncak kejayaan kerajaan Uthmaniyah dicapai semasa pemerintahan Sulaiman 1 (1520-1566) (Utusan Online, 2012).
Jika di teliti dari segi pentadbiran kerajaan, kegemilangan empayar Uthmaniyah di Turki dapat dilihat apabila Wakaf Tunai mula diaksanakan bagi membantu kesejahteraan rakyatnya. Empayar Uthmaniyah mencapai kegemilangan dengan bantuan amalan wakaf tunai yang meluas ketika itu sehingga berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan serta menjadi pelengkap kepada usaha-usaha pembangunan dalam penyediaan kemudahan kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan sebagainya .
Selain itu, dalam sistem organisasi dan pentadbiran perundangan Islam, jawatan seperti kadi dan mufti telah menjadi sebahagian daripada organisasi pentadbiran agama Islam. Jawatan Sheikh-ul-Islam, iaitu ketua ulama diperkenalkan untuk mengeluarkan fatwa. Koleksi fatwa yang dikeluarkan oleh beliau merupakan salah satu sumbangan kerajaan Uthmaniyah kepada agama dan sains undang-undang yang kekal digunakan hingga hari ini. Jelaslah sistem organisasi dan pentadbiran perundangan Islam merupakan satu faktor kegemilangan empayar Uthmaniyah di Turki.
Dalam aspek ekonomi pula, kerajaan Uthmaniyah banyak bergantung kepada kedudukan geografi Istanbul sebagai pusat atau kota pertemuan dalam rangkaian perdagangan diantara timur dan barat serta antara dunia Islam dengan dunia bukan Islam. Rangkaian perdagangan kerajaan Uthmaniyah meliputi pelabuhan di sepanjang Laut Tengah, Laut Merah, Laut Hindi, dan Laut Mediterranean. Rangkaian pelabuhan yang dikuasai oleh kerajaan Uthmaniyah juga telah membentuk rangkaian perdagangan dunia Islam yang berpusat di Istanbul.
Selain itu, golongan atasan Eropah mengamalkan sistem bangsawan yang berasaskan keturunan dalam susun lapis masyarakat sebelum kedatangan Islam di Eropah. Dengan penguasaan kerajaan Uthmaniyah di Eropah terutamanya di kawasan Balkan telah memperkenalkan sistem yang menjana kecemerlangan individu. Pengenalan sistem ini bermakna pembahagian masyarakat bergantung pada hasil usaha setiap individu. Oleh itu, ia membawa kepada mobiliti sosial yang lebih luas dalam masyarakat Eropah 

Sumbangan kerajaan Uthmaniyah dalam bidang ilmu pengetahuan, pendidikan, kebudayaan, penerbitan dan penterjemahan amat tinggi. Sistem pendidikan Uthmaniyah yang mempengaruhi perkembangan pendidikan dunia Islam ialah sistem madrasah. Selain itu, terdapat juga sistem pendidikan lain seperti sekolah pengetahuan akademik, sekolah sastera, maktab tentera, maktab teknik dan kolej perubatan. Antara sumbangan terbesar golongan intelektual adalah penulisan ensiklopedia. Pada ketika ini kepentingan ilmu membawa kepada kepentingan perpustakaan. Kerajaan Uthmaniyah telah membina perpustakaan di masjid, hospital dan juga di rumah. Sumbangan Uthmaniyah yang kekal sehingga kini ialah seni binanya terutamanya seni bina masjid.

SEJARAH ZAKAT

Sejarah bermulanya zakat adalah sejak dari zaman permulaan Islam di Makkah lagi, tetapi perintah diwajibkan zakat pada masa tersebut adalah secara umum. Kebanyakkan ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan wajibnya zakat pada zaman itu tidak dinyatakan secara terperinci tentang jenis-jenis harta benda dan jumlah yang diwajibkan zakat. Ketika itu, zakat ditunaikan sekadar mengikut timbang rasa orang-orang Islam dan kemurahan hati mereka. Selepas Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah dan terbentuknya umat Islam dan Negara Islam, barulah zakat disyariatkan dalam bentuk yang lengkap dan sempurna iaitu secara terperinci tentang jenis-jenis harta benda dan jumlah yang wajib dikeluarkan zakat, asnaf atau golongan yang berhak menerimanya serta hal-hal lain yang penting berkaitan dengannya.
Zakat merupakan suatu ibadat fardhu yang terdapat di dalam rukun islam serta wajib ditunaikan oleh umat Islam apabila telah sempurna dan cukup syarat-syaratnya. Di dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim Allah S.W.T telah menegaskan tentang kewajipannya dengan menggandingkan kefardhuan zakat dengan fardhu solat: “Maka dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat”. (Al- Nisa’: ayat 77)
Sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran dalam surah Al-Taubah ayat 103, firman Allah yang bermaksud: “Ambilah zakat dari harta mereka yang berada bagi membersihkan diri dan harta mereka dan doakanlah mereka menerimanya”. Selain itu, di dalam Hadits riwayat Bukhari, Muslim juga turut dinyatakan wajibnya zakat iaitu Nabi SAW. bersabda : ‘Islam dibangunkan di atas lima perkara, bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, mendirikan solat, membayar zakat, puasa di bulan Ramadhan dan menunaikan ibadah haji ke Baitullah bagi yang mampu’.
Zakat merupakan tunjang kepada kestabilan ekonomi umat Islam. Dengan zakat, umat Islam yang kurang upaya dan tidak bernasib baik dapat turut merasai rezeki yang Allah limpahkan. Diamping itu, zakat juga mengajar umat Islam untuk mengenang kesusahan orang lain dan mengelakkan perasaan kikir dan kedekut dan bermahajarela di hati. Orang susah juga tidak akan merasa tersisih dari nikmat Allah kerana turut dapat menumpang nikmat kesenangan orang lain yang dapat menggambarkan bukti zahir seseorang menjunjung ajaran Islam.

Surah al-baqarah ayat 267 “Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (keluarkan zakat) apa-apa hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian yang kami keluarkan dari bumi untukmu”. 

Thursday 3 October 2013

PERKHIDMATAN INTRANET DI MAINS

Perkhidmatan intranet merupakan salah satu perkhidmatan bagi memudahkan pelanggan untuk mendapatkan maklumat serta informasi. MAINS melakukan transformasi apabila menggunakan semua perkhidmatan berasaskan intranet agar memudahkan proses kerja dilakukan. Jika diteliti, terdapat beberapa perkhidmatan intranet yang digunapakai dalam MAINS online seperti:

 1) E-PERAKAUNAN & BELANJAWAN
Melalui perkhidmatan e-perakaunan & belanjawan, sistem ini membantu bahagian kewangan dan perakaunan mengendalikan proses kewangan dari segi kawalan peruntukan, pengurusan operasi harian (contohnya penjanaan pesanan, baucer bayaran, cek, resit serta jurnal) pemantauan lejar akaun serta penjanaan laporan belanjawan, hasil dan penyata kewangan. 

II) E-PINJAMAN
Sistem maklumat pinjaman merupakan satu insiatif pihak MAINS untuk menyusun prosideu-prosidur pinjaman pelajaran. Sistem ini dapat merekodkan maklumat-maklumat peminjam pinjaman pelajaran MAINS. Selain itu, melalui perkhidmatan ini, ia berupaya merekodkan jumlah pinjaman yang diberikan kepada seorang peminjam, menjana notis bayaran balik, merekodkan penerimaan bayaran balik bulanan, mengeluarkan notis tunggakan kepada peminjam yang lewat membuat pembayaran balik pinjaman.

III) E-FARAID
Sistem pengurusan harta faraid berfungsi dalam merekodkan aset-aset lebihan dari pembahagian harta pusaka yang menjadi milik Baitulmal serta ingin ditebus sama oleh waris simati atau pihak-pihak yang berkenaan. Harta-harta tersebut terdapat dalam pelbagai contoh seperti tanah, bangunan, saham dan wang tunai.

IV) E-ZAKAT
Sistem ini mempunyai fungsi dalam merekodkan maklumat pemohon-pemohon bantuan zakat sama ada zakat individu mahaupun zakat organisasi. Sistem agihan ini berupaya menjana senarai pemohon bantuan untuk dibawa kebahagian yang meluluskan bantuan seterusnya merekodkan status permohonan yang akan menghasilkan senarai permohonan bantuan yang berjaya.

V) E-ASET
Sistem ini bertujuan untuk merekodkan semua aset-aset MAINS seperti bangunan, tanah, kenderaan, peralatan pejabat, serta kos-kos berkaitan dengannya seperti penyelenggaraan, cukai serta merekodkan pelupusan aset, menjana susutnilai tahunan untuk setiap aset, mengira nilai buku serta menghasilkan laporan-laporan aset seperti laporan aset mengikut kategori, hapuskira, susutnilai dan daftar aset.

ZAKAT

Zakat dari segi bahasa boleh ditakrifkan sebagai tumbuh dan bertambah dan juga memberi maksud ‘al-namaa’ pertumbuhan dan perkembangan dan ath-thaharatu ‘kesucian’. Jika diteliti, bersih dan suci dalam istilah zakat bererti membersihkan harta dan membersihkan diri golongan orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Zakat juga diambil dari perkataan “zaka” yang bermaksud bertambah dan subur. Pengertian ini juga bermaksud membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya. Zakat dari segi syarak pula bermaksud mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya apabila telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Zakat juga boleh ditakrifkan sebagai sejumlah harta tertentu yang diwajibkan Allah untuk diserahkan kepada orang-orang yang berhak iaitu mengeluarkan jumlah tertentu. Menurut Dr. M. Yusuf Al-Qardawi (1987), jumlah yang dikeluarkan dari kekayaan tersebut dikenal pasti sebagai zakat kerana apa yang dikeluarkan itu bertambah banyak, lebih bererti dan melindungi kekayaan daripada binasa.
Perkhidmatan yang disediakan oleh baitulmal kebanyakan lebih terarah kepada bantuan untuk mereka yang memerlukan. Terdapat lapan asnaf yang harus menerima zakat iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, orang yang berhutang, hamba yang dimerdekakan, fi sabilliah dan orang yang musafir. 

Wednesday 20 February 2013

LATAR BELAKANG ORGANISASI



Penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan

Secara amnya, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah mula ditubuhkan bermula sejak tahun 1947 apabila pihak British memperkenalkan sistem pentadbiran moden dan mula mengambil tindakan  melantik pentadbiran  moden sekaligus mengambil tindakan melantik pentadbir dari golongan orang melayu dalam usaha kearah persediaan untuk kemerdekaan. Sejarah penubuhan MAINS bermula sekitar tahun 1947 apabila tiada peruntukan khusus mengenai penubuhan Majlis Agama Islam  tetapi  wujudnya Peruntukan Undang-Undang Islam dan Adat Istiadat Melayu  (The Muslim Law and Malay Custom (Determination) Enactment. F.M.S.Cap 196) yang digunakan di Negeri - Negeri Melayu Bersekutu bagi urusan berkaitan agama dan adat istiadat Melayu termasuk di Negeri Sembilan khususnya. Jika dikaji, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1948 merupakan peruntukan yang paling awal ditubuhkaan berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri. Kemudian  sekitar tahun 1949 Enakmen  Majlis Agama Islam  telah ditubuhkan bagi mengawal selia aktiviti MAINS. Seksyen 6 telah menyatakan bahawa DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan penaung utama bagi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Pada tahun 1957 tanggal 6 Februari Enakmen Majlis Agama Islam diperkenankan oleh DYMM Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammadd dan YTM Dato-Dato Undang yang Empat untuk dikuatkuasakan. Berikutan itu penubuhan Majlis distrukturkan semula berdasarkan enakmen ini. Manakala urusan berkaitan adat istiadat diletakkan di bawah pengurusan Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan sendiri oleh DYMM Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan. Walaubagaimanapun pada 6 Oktober 1960 telah diperkenalkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syara’ (Negeri Sembilan) bagi mengantikan keseluruhan  Enakmen Agama Islam (Negeri Sembilan) 1957. Jika diteliti Enakmen ini lebih lengkap berbanding Enakmen 1957 serta mempunyai peruntukan tambahan bagi memperkemaskan sistem pentadbiran Islam di Negeri Sembilan. Gelaran Yang Di Pertua Majlis juga telah digantikan dengan Pengerusi Majlis. Enakmen ini kemudiannya menjadi asas kepada pembentukan enakmen Majlis Agama Islam yang lebih tersusun dan beberapa enakmen yang berkaitan.
Pada tahun 1991 sekali lagi Enakmen Majlis Agama Islam telah digubal apabila Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) telah diperkenalkan bagi mengantikan keseluruhan Enakmen Pentadbiran Hukum Syara 1960. Melalui enakmen ini lebih banyak pembaharuan dan perkara berkaitan pentadbiran agama telah diperkenalkan dan dibuat pembaharuan. Enakmen ini juga digubal untuk mewujudkan peraturan dan undang-undang Islam yang selaras di antara Negeri Sembilan dengan lain-lain di Malaysia.
Jika dikaji terdapat ketidakseragaman dalam setiap enakmen yang telah digubal maka pada 1 Mac, 2004 telah diperkenalkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam. Selain itu, enakmen ini telah diluluskan di persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan pada 11 November 2003. Pengurusan dan perjalanan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan kini adalah berdasarkan enakmen ini.