prettygreeting


http://prettygreeting.blogspot.com/

Wednesday 20 February 2013

LATAR BELAKANG ORGANISASI



Penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan

Secara amnya, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah mula ditubuhkan bermula sejak tahun 1947 apabila pihak British memperkenalkan sistem pentadbiran moden dan mula mengambil tindakan  melantik pentadbiran  moden sekaligus mengambil tindakan melantik pentadbir dari golongan orang melayu dalam usaha kearah persediaan untuk kemerdekaan. Sejarah penubuhan MAINS bermula sekitar tahun 1947 apabila tiada peruntukan khusus mengenai penubuhan Majlis Agama Islam  tetapi  wujudnya Peruntukan Undang-Undang Islam dan Adat Istiadat Melayu  (The Muslim Law and Malay Custom (Determination) Enactment. F.M.S.Cap 196) yang digunakan di Negeri - Negeri Melayu Bersekutu bagi urusan berkaitan agama dan adat istiadat Melayu termasuk di Negeri Sembilan khususnya. Jika dikaji, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1948 merupakan peruntukan yang paling awal ditubuhkaan berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri. Kemudian  sekitar tahun 1949 Enakmen  Majlis Agama Islam  telah ditubuhkan bagi mengawal selia aktiviti MAINS. Seksyen 6 telah menyatakan bahawa DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan penaung utama bagi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Pada tahun 1957 tanggal 6 Februari Enakmen Majlis Agama Islam diperkenankan oleh DYMM Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammadd dan YTM Dato-Dato Undang yang Empat untuk dikuatkuasakan. Berikutan itu penubuhan Majlis distrukturkan semula berdasarkan enakmen ini. Manakala urusan berkaitan adat istiadat diletakkan di bawah pengurusan Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan sendiri oleh DYMM Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan. Walaubagaimanapun pada 6 Oktober 1960 telah diperkenalkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syara’ (Negeri Sembilan) bagi mengantikan keseluruhan  Enakmen Agama Islam (Negeri Sembilan) 1957. Jika diteliti Enakmen ini lebih lengkap berbanding Enakmen 1957 serta mempunyai peruntukan tambahan bagi memperkemaskan sistem pentadbiran Islam di Negeri Sembilan. Gelaran Yang Di Pertua Majlis juga telah digantikan dengan Pengerusi Majlis. Enakmen ini kemudiannya menjadi asas kepada pembentukan enakmen Majlis Agama Islam yang lebih tersusun dan beberapa enakmen yang berkaitan.
Pada tahun 1991 sekali lagi Enakmen Majlis Agama Islam telah digubal apabila Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) telah diperkenalkan bagi mengantikan keseluruhan Enakmen Pentadbiran Hukum Syara 1960. Melalui enakmen ini lebih banyak pembaharuan dan perkara berkaitan pentadbiran agama telah diperkenalkan dan dibuat pembaharuan. Enakmen ini juga digubal untuk mewujudkan peraturan dan undang-undang Islam yang selaras di antara Negeri Sembilan dengan lain-lain di Malaysia.
Jika dikaji terdapat ketidakseragaman dalam setiap enakmen yang telah digubal maka pada 1 Mac, 2004 telah diperkenalkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam. Selain itu, enakmen ini telah diluluskan di persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan pada 11 November 2003. Pengurusan dan perjalanan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan kini adalah berdasarkan enakmen ini.